Definisi Dakwah
Dakwah mengikut Kamus Dewan Edisi ketiga ialah kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan.
Menurut Ensiklopedia Islam dakwah membawa maksud setiap kegiatan yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil orang untuk beriman dan taat kepada Allah s.w.t sesuai dengan garis akidah, syariat dan akhlak Islamiah. Secara kebahasaan, dakwah adalah kata dasar (masdar) dari kata kerja da’a-yad’u yang bererti panggilan, seruan atau ajakan. Kata dakwah sering dirangkaikan dengan kata “ilmu” dan kata “Islam”, sehingga menjadi “ilmu dakwah” dan “dakwah Islam” atau al-da’wah al-Islamiyah[2].
Manakala menurut Ensiklopedia Malaysiana dakwah bererti menyeru. Dalam konteks agama dakwah ialah menyeru ke jalan Allah. Perkataan dakwah juga bermaksud masyarakat Islam. Pada zaman Fatimiyyah, dakwah bererti doktrin, agama, masyarakat, mazhab dan parti kepada imam[3].
Menurut Idris Ahmad pula dakwah ialah mengajak manusia kepada pengabdian diri kepada Allah s.w.t, ia adalah suatu tugas yang mulia dan ia juga merupakan tugas para nabi dan rasul apabila diutuskan menjadi rasul[4].
Menurut Abu ‘Urwah, pengertian dakwah dari segi bahasa membawa maksud menyeru atau memanggil, sama ada kepada perkara yang haq atau batil. Selain itu, seruan kepada Allah s.w.t[5]. Allah s.w.t berfirman:
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala i’tiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain”.
Surah Yusuf (13): 108
Dari segi istilah syara’ pula membawa pengertian yang lebih khusus iaitu seruan atau panggilan ke jalan Allah s.w.t[6].
Muhammad al-Ghazali menjelaskan maksud dakwah sebagai satu program (barnamij) yang lengkap, yang kesemua peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup dan bagi menyingkap petunjuk jalan yang menjadi petunjuk kepada mereka[7].
Menurut Ibn Taimiyyah dakwah adalah satu usaha seruan ke arah beriman kepada Allah s.w.t dan apa yang disampaikan oleh rasul-rasul-Nya iaitu dengan membenarkan segala perkara yang disampaikan oleh para rasul dan mentaati perintah mereka. Antara tugas dakwah adalah menyuruh (al-amru) melaksanakan apa yang disukai Allah dan rasul-Nya akan perkara yang wajib dan sunat, zahir dan batin. Tugas dakwah juga terdiri daripada menegah (an-nahyu) segala larangan Allah dan rasul-Nya sama ada zahir atau batin. Tidak sempurna dakwah kiranya tidak ke arah melaksanakan apa yang dikehendaki Allah dan meninggalkan apa yang tidak disukai-Nya, sama ada dari perkataan atau perbuatan zahir[8].
Berdasarkan pengertian tersebut, dakwah merupakan satu kegiatan yang dijalankan oleh segolongan manusia untuk menjalankan menyeru manusia kepada mentaati Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Di samping itu menegah manusia yang melakukan kemungkaran agar kembali ke jalan yang benar.
______________
[1] Teuku Iskandar, Dr. 1996. Kamus Dewan. Ed.3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm: 263.
[2] Ensiklopedia Islam. 1994. Cet. 3. J.1. Jakarta: PT Ichtiar Baru Van Hoeve. Hlm: 280.
[3] Ensiklopedia Malaysiana. 1996. J.4. Kuala Lumpur: Anzagain Sdn. Bhd. Hlm: 24.
[4] Idris Ahmad. 2005. Teks Usrah Peringkat Pengenalan. Cet. 3. Kuala Lumpur: Percetakam Saufi. Hlm: 30
[5] Abu ‘Urwah. 1999. Konsep-konsep Umum Islam Kuala Lumpur: Pustaka Salam. Hlm: 124.
[6] Ibid. Hlm: 124.
[7] Muhammad al-Ghazali. 1981. Ma’a Allah. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. Hlm: 17.
[8]Abu ‘Urwah. Op.Cit. Hlm: 124.