Susahnya Melafazkan TERIMA KASIH
Budaya kesantunan yang kian pudar. Masyarakat kita sukar untuk melafazkan terima kasih sebagai tanda penghargaan setelah beban diringankan. Tidak tahu mengapa. Tidak mengenal masyarakat bandar yang dikatakan maju atau kampung yang dikatakan terkenal dengan kesantunan. Tidak tahu mengapa ia semakin ditinggalkan.
Adakah cukup dengan 'menepek' di sana sini lafaz 'terima kasih' untuk membuktikan masyarakat kita bersopan santun? TIDAK! Perlu dibayarkah untuk melafazkannya? Sakitkah apabila meluahkannya? Semuanya tidak... Jadi apa?
Jawapannya... ini membuktikan hati kita keras dan kering. Tandus kasih sayang di jiwa. Amalan keagamaan ditinggalkan. Mengasingkan agama dalam kehidupan, sedangkan agama dan kehidupan ialah satu. Sebab itu 'Islam adalah cara hidup', Islam sudah merangkumi keseluruhan aspek kehidupan sama ada perkara yang terdedah atau yang paling tetutup.
Orang yang meringankan lidahnya untuk melafazkan terima kasih atau apa sahaja perkataan yang melambangkan kesopanan dan kesusilaan ialah orang lembut jiwanya. Orang begini tidak akan membunuh orang lain dan sukar menyakiti perasaan orang dengan mudah dan disedari. Orang beginilah yang akan dikasihi masyarakat sekelilingnya.
Kenapa saya mengupas isu ini? Kerana saya baru sahaja pulang dari program motivasi untuk membangunkan masyarkat kampung di satu daerah yang tidak perlu saya nyatakan. Saya sedih, mana bukti yang menyatakan masyarakat kampung sangat bersopan santun? Bukan saya mahu memburukkan masyarakat kampung @ bandar tapi apa yang saya mahu ungkapkan ialah jika masyarakat kampung sudah hilang kesantunan apatah lagi masyarakat di bandar? Apa yang lebih menyedihkan saya ialah mereka sebangsa dan seagama dengan saya.
Marilah kita bersama-sama berusaha memperjuangkan kedaulatan islamiyyah untuk mengembalikan tamadun Islam yang agung! Oleh itu, teruskanlah motivasi diri untuk terus berdakwah! Dakwah dengan berhikmah adalah yang paling berkesan kerana maksud hikmah itu sendiri ialah sesuatu perkara yang diletakkan pada tempatnya (maksud dari segi bahasa arab).