Islam yang Dibanggakan Barat
Prof. Abdullah Nasih Ulwan
Syariat Islam itu mendapat kemuliaan dan ketinggian bahawa musuh-musuhnya sendiri telah menyaksikan tentang pertumbuhannya dan kewujudannya secara terus-menerus hingga kini. Musuh-musuh Islam juga telah mengakui tentang kesuburan serta kekekalannya. Marilah kita lihat, wahai orang-orang yang selalu tertarik dengan penyaksian orang-orang Barat, apa kata-kata mereka tentang Islam, apa puji-pujian mereka agar kamu sekalian mengetahui pula apa yang dikatakan oleh orang-orang yang merasakan keinsafan dari yang bukan Islam tentang perutusan Islam yang dibanggakan serta pengajaran-pengajarannya dimuliakan itu.
· Prof. Gustaf Le Bon telah menukil daripada Prof. Lebre, katanya: “Andaikata kaum Arab tidak muncul di atas panggung sejarah, nescaya pembangunan Eropah moden akan termundur buat beberapa abad lagi”
· Berkata Lean Poole di dalam bukunya Arab di Spain: “Eropah yang buta huruf ketika itu sedang membanggakan sifat kejahilan dan kebodohan, sedang Andalus (Spain) menjulang kepimpinan ilmu pengetahuan serta mengkibar-kibarkan bendera kebudayaan di serata alam”
· Berkata Ilyas Abu Syabakah di dalam bukunya Pertalian Pemikiran dan Roh Antara Kaum Arab dan Kaum Ifranj (European): “Sesungguhnya kemusnahan tamadun Arab adalah membawa kesialan ke atas Spain dan Eropah. Andalus tidak pernah merasakan kebahagiaan melainkan ketika di bawah naungan pemerintahan Arab. Tatkala kaum Arab meninggalkannya bertukarlah tempatnya dari kemewahan, kecantikan dan kesuburan menjadi kehancuran dan kemusnahan secara total”
· Berkata Sediluth di dalam bukunya Sejarah Arab: “Di kurun-kurun pertengahan, kaum Muslimin sajalah yang terlengkap oleh ilmu pengetahuan, falsafah dan pelbagai ilmu yang lain dan mereka telah pun menyebarkan di mana sahaja mereka menjejakkan kaki mereka hingga tersebar ke Eropah. Merekalah yang menyebabkan kemunculan tamadun kita dan kesuburannya”
· Ahli falsafah terkenal, Bernard Shaw berkata: “Sesungguhnya agama Muhammad itu harus diberikan sebaik-baik perhatian disebabkan kesuburannya yang luar biasa dan sesungguhnya dia merupakan satu-satunya agama yang mempunyai pengaruh bagi segala lapisan hidup yang berbeza-beza. Saya berpendapat adalah wajib kita menggelarkan Muhammad itu sebagai penyelamat bangsa manusia dan seseorang yang memiliki bakat sepertinya, apabila memegang kepimpinan alam moden ini, nescaya dia akan berjaya untuk memulihkan segala permasalahan”
Semua kata-kata ini adalah orang-orang yang mempunyai fahaman dan pandangan yang jauh, bukti demi bukti terhadap segala yang didorong oleh prinsip-prinsip Islam, dari pendorongan tamadunnya, dasar-dasar evolusinya yang menyeluruh serta pengajaran-pengajarannya yang subur dan kekal abadi. Semua kebaikan dan keutamaan ini kembali kepada apa yang diakui oleh orang-orang yang benar-benar jujur dalam kata-katanya dan juga apa yang disaksikan oleh musuh-musuh Islam sendiri.
Petikan Muqaddimah Abdullah Nasih Ulwan: Tarbiyyatul Aulad