Karut wa Marut

Kepercayaan karut dan khurafat sedari zaman nenek moyang kita masih menapak di zaman kita, walaupun kita menganggap kita sudah maju ke depan sehinggakan adakalanya terlalu taksub dengan kepercayaan tersebut. Oleh itu, tanggungjawab siapa yang perlu mengubah situasi ini jika bukan kita yang mempunyai kefahaman Islam. Ajarkanlah tauhid Allah kepada anak kita hatta masih bayi. Seperti yang telah dijelaskan dalam Al Quran bermaksud: “Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan kepada anak-anaknya, demikian juga Ya’kub. Ibrahim berkata: hai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam.” (QS. alBaqarah:132)Berikanlah kefahaman yang sebenar tentang tauhid kepada Allah kerana arahan pertama yang perlu kita lakukan di Padang Mahsyar nanti Allah s.w.t memerintahkan semua hambaNya pergi kepada tuhan yang mereka sembah. Tergamakkah kita untuk meninggalkan dan memperakui tuhan selain dari Tuhan yang Maha Agung, Allah s.w.t.


                Adakalanya kita sering mempercayai perkara tahyul seolah-olah wujud benda lain yang lebih berkuasa daripada Allah s.w.t. Bahkan kita sangat percaya jika ada perkara lain yang mampu membahagiakan dan memudaratkan kita selain daripada Allah. Selain itu, kita juga adakalanya percaya bahawa ada makhluk lain yang mampu memberi dan menarik rezeki kita selain Allah s.w.t. Bagaimana aqidah kita? Sanggupkah kita memperakui wujudnya tuhan selain dari Allah s.w.t.


                “Datuk, nenek… cucu tumpang lalu.” Perlukah warisan ini diteruskan? Sedangkan kita adalah khalifah mereka dan mereka tidak mampu memudaratkan kita melainkan Allah. Hanya kepada Allah sahaja tempat kita berlindung dari segala malapetaka, mengadu nasib dan bergantung harap terhadap segalanya. Kita juga sering menyatakan “nasib baik aku tak buat itu dan ini…” sedangkan semua yang berlaku adalah kehendak Allah s.w.t.


                Saya menyeru diri saya dan seluruh umat Islam kuatkan dan tetapkan aqidah kita dari terpesong. Didiklah anak-anak kita tentang Allah s.w.t sedari bayi lagi agar terhapus zaman kegelapan. Bersama-samalah kita berusaha meninggalkan segala kepercayaan karut yang telah kita lakukan sehingga tidak terperasaan oleh kita bahawa betapa kerap melakukanya.

0 Responses