Mari Berdakwah.
Dakwah merupakan suatu gerakan yang perlu dititik beratkan oleh semua umat Islam. Kita perlu mengetahui pengertian sebenar dakwah bagi memahami matlamat yang dibawa. Di samping itu, perlu bagi umat Islam mengetahui gerakan ini kerana ia merupakan satu kewajipan bagi setiap umat Islam untuk berdakwah sama ada secara umum atau khusus. Di dalam gerakan ini juga mempunyai metode yang tertentu sebagai satu garisan yang dijadikan sebagai petunjuk bagaimana cara seseorang itu boleh berdakwah. Konsep dakwah adalah menyeru kepada kebaikan dan menghalang daripada keburukan seperti Firman Allah s.w.t.:
Maksudnya:
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.
Surah Ali ‘Imran (3): 110
Dalam menjalankan dakwah ini, pendakwah perlu mempunyai ilmu dan pengalaman bagaimana berhadapan dengan orang yang hendak didakwah. Cara berdakwah setiap orang adalah berbeza, jadi ilmu adalah asas yang penting untuk mempelbagaikan teknik berdakwah dalam berhadapan dengan mereka.
Terdapat begitu banyak dalil yang menuntut umat Islam agar menjalankan kegiatan dakwah seperti firman Allah s.w.t:
Maksudnya:
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berda’wah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Surah Ali ‘Imran (3):104