Peranan Aku dan Kamu
Sejak akhir-akhir ini sering kedengaran kelalaian dan kecuaian suami ke atas isteri dan anak-anak. Sang isteri pula mengerah tenaga dan fikiran untuk membantu suami mencari sesuap nasi. Apa dunia ini sudah berpusing secara terbalikkah? Sang suami hanya makan, minum, tidur dan mengurus diri apa yang patut. Adilkah? Inikah Islam?
Sudah tentu, tidak! Tugas memberi nafkah adalah suami.. Ini syarat-syarat wajib nafkah:
1. Telah berlangsungnya akad nikah secara sah menurut syara’ antara suami dan isteri.
2. Isteri yang sudah layak untuk disetubuhi oleh suaminya.
3. Hak-hak suami tidak terhalang atas isterinya, seperti suami dipenjara atau sebagainya.
4. Isteri menyerah sepenuhnya kepada suaminya.
Manakala nafkah yang tidak wajib diberikan pula ialah:
1. Akad nikah dengan ijab kabul yang batil.
2. Isteri berpergian tanpa izin suaminya. Selama dalam perjalanan ia tidak berhak mendapat nafkah, jika kepergiannya semata-mata kepentingan dirinya sendiri. Tetapi, jika kepergiannya dengan izin suami bahkan mungkin mengurus kepentingan suaminya, maka dia tetap berhak mendapat nafkah.
3. Isteri yang selalu sibuk bekerja atau berusaha di luar rumah tanpa mendapat keizinan dari suaminya.
4. Isteri yang nusyuz atau derhaka sehingga dia kembali taat.
Wanita di zaman sekarang kebanyakkannya mempunyai kariernya sendiri. Bahkan, adakalanya gaji isteri lebih tinggi dari gaji suami. Tetapi, ini bukan bererti suami boleh melepaskan tanggungjawab sebagai seorang suami. Isteri perlu bertindak sebagai pembantu, gaji yang diperoleh untuk membantu meringankan bebanan suami. Seperti sedia kita maklum, dunia sekarang terlalu menuntut kepada wang. Banyak perkara yang perlu diselesaikan dengan wang. Sepatutnya sebagai seorang suami yang punya isteri yang mempunyai inisiatif untuk membantu perlu dihargai. Bukan mudah bagi seorang isteri yang bergelar ibu untuk meninggalkan anak di rumah atau kepada pengasuh. Ia menuntut pengorbanan yang tinggi adakalanya menitis air mata mereka kerana sukar untuk melepaskan tanggungjawab sebagai seorang ibu walau untuk seketika.